Aku pun tak pasti kenapa hari ini, tiba-tiba sahaja aku terfikir nak tulis sesuatu tentang kehidupan. Kehidupan itu memang sulit untuk dilalui, sekuat manapun manusia itu dia pasti akan diuji keimanannya. "Dalam hidup ini,memang senang nak jadi susah, dan memang susah nak jadi senang", begitulah serba sedikit kata-kata daripada salah seorang ustaz aku.
'Puzzle'.. Anda pernah tak, main B-jigsaw puzzle? Apa strategi anda untuk menyelesaikan susunan puzzle itu dengan mudah? Kalau aku main puzzle, aku pastinya akan mengasingkan dulu puzzle itu kepada dua bahagian.. bahagian yang pertama, bahagian tepi puzzle.. bahagian yang kedua, bahagian tengah puzzle. Nak tahu apa sebabnya? Sebabnya bahagian tengah puzzle memang sulit untuk disudahkan berbanding bahagian tepi puzzle..Betul ke, strategi yang aku pilih itu? Aku pun tak pasti... Begitulah juga kehidupan, bila kita salah pilih strategi serta pengisiannya dan lupa akan tujuan asal kita dicipta di atas muka Bumi Allah ini.. memang sulitlah hidup kita dunia, akhirat. Puzzle kehidupan kita pun turut sukar untuk disempurnakan dengan baik kalau strategi serta pengisian hidup kita di atas muka Bumi Allah ini salah, kerana kebaikan tak menghalalkan cara. Pengisian dan strategi yang buruk hanya akan menghasilkan natijah yg buruk, untuk membuat kebaikan perlulah menggunakan cara yang dibenarkan syara'.. sanggup mencuri untuk membantu anak-anak yatim. Wajarkah perbuatan ini? Tepuk dada tanyalah iman sebelum bertindak... itulah saranan ana untuk antum dan antunna semua.
Apa pula perkara yang paling sinonim dengan kehidupan kita semua, ya? Bagi aku, fitrahlah yang paling sinonim dengan kehidupan seseorang manusia itu. Fitrah ciptaan Allah ini pula selalu dikaitkan dengan cinta, persahabatan, perpisahan dan kematian.
Memang sudah menjadi lumrah manusia ingin dicintai tapi aku pula memang takut untuk cinta terhadap manusia lain, takut cinta itu melekakan. Adat manusia memang mudah lupa diri terutama apabila diuji dengan kesenangan, kekayaan dan perkara-perkara yang mereka sukai. Aku harap aku dapat cari cinta Allah yang kekal abadi supaya cintaku terhadap dunia dan segala isinya selalu terbimbing dan terarah serta aku tidak akan terpesong dari jalan redhaNya sepanjang menghadapi ujian dan dugaan di dunia ini yang sememangnya berliku. Tak salahkan, kalau cinta akan dunia? Asalkan cinta itu tidak melebihi cintamu terhadap Allah dan RasulNya serta kecintaan terhadap jihad di jalanNya dan aku juga berdoa agar seluruh umat Islam dunia dapat menemui cinta yang sama.
Dari segi persahabatan pula, "Apa jenis sahabatlah, aku nak pilih ini ya?" Semestinya aku nak sahabat yang dapat mendekatkan diriku dengan Sang Kholiq, mungkin dia lebih muda, lebih tua, lebih 'alim, lebih jahil atau lebih jahat daripada diriku ini, tapi sebenarnya semua manusia itupun sama, cuma yang membezakannya di sisi Allah adalah takwa mereka.. "Kerana sesungguhnya semulia manusia dalam kalangan kamu adalah manusia yang paling bertakwa". Kadangkala, mungkin kejahatan yang membawa manusia itu hampir dengan Allah tapi, janganlah antum dan antunna semua berbuat demikian kerana ana takut nanti perbuatan itu akan mengundang kemurkaan Allah. Namun, jika antum dan antunna semua mengambil iktibar daripada kejahatan manusia itu sendiri tidak mengapa malah, ana sokong 100%. Segala kejadian dan perlakuan manusia di atas muka Bumi Allah ini memang ada hikmahnya yang tersendiri bila kita renungkan dan fikirkan dengan mata hati kita . Jadi sekarang akupun dah tak kisahlah siapa engkau asalkan, engkau manusia.. jadi, engkau memang layak menjadi sahabat aku, dunia dan akhirat. Aku ingin persahabatan kita kekal sampai akhirat, bukan semata-mata di dunia sahaja. Jadi, mulai sekarang kita sama-sama perbaiki diri kita serta saling menegur kesalahan satu sama lain. Jangan takut untuk tegur aku jika, aku lalai... asalkan engkau gunakan cara yang berhikmah sesiapapun pasti boleh menerimanya. Yakinlah pada 'Ukhwah Islamiah' kita, tentunya selepas ini, aku akan lebih yakin untuk bersahabat dengan engkau.
Bab yang terakhir yang ingin aku sentuh dalam penulisan aku kali ini ialah mengenai perpisahan dan kematian. Orang selalu berkata," Setiap pertemuan pasti ada, perpisahan". Memang tepat sekali ! Samalah macam penulisan aku kali ini, sebab memang dah hampir pun aku selesaikan kupasan mengenai tajuk pilihan aku kali ini. Jadi, antum dan atunna semua pastinya, akan berpisah buat sementara waktu dengan idea-idea dan karya-karya aku sehinggalah datang ilham baru.. itupun jika, diizinkan oleh Allah tanpa keizinannya siapalah hambaNya yang lemah ini.
Perpisahan dan kematian itu memang pahit, perit dan pedih untuk diterima tapi, ingatlah bahawa dua perkara inilah yang paling hampir dengan kehidupan kita sebagai makhlukNya kerana setiap yang bernyawa pasti akan, merasai mati. Aku sengaja 'highlight'kan perkataan pasti untuk menguatkan lagi keyakinan aku bahawa Allah memang menghidupkan manusia di dunia ini agar mereka dapat menyediakan bekalan untuk menghadapi alam lain iaitu alam akhirat yang kekal abadi.
Perpisahan dan kematian itulah cara yang paling terbaik untuk mengingatkan manusia kepada Sang Kholiqnya. Perpisahan dan kematian itu memang ada hikmah yang tersembunyi. Antara hikmah yang dapat aku nyatakan di sini ialah bahawa akan terdetik di fikiran seseorang itu yang hidup ini memang singkat sehinggakan, dia akan sanggup berjuang habis-habisan seolah-olah, dia takkan hidup lagi pada esok hari. Orang yang ingat akan kematian adalah orang yang paling bijaksana. Kemudian dengan adanya perpisahan itu juga, manusia akan berusaha untuk berubah agar hidupnya tidak terlalu bergantung kepada orang lain serta dapat mencari titik kekuatan dalam diri masing-masing. Setiap manusia yang diciptakan Allah itu sebenarnya, mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri kerana dunia ini takkan lengkap tanpa anda. Perkara inilah jugalah, yang menjadikan kekuatan umat Islam pada zaman Rasulullah kerana mereka sanggup berpisah dengan keluarga serta meninggalkan harta kekayaan mereka semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dan RasulNya. Perkara inilah yang sebenarnya, yang masih dicari-cari oleh umat Islam pada era globalisasi kini. Seterusnya, perpisahan dan kematian juga dapat meninggalkan seribu keinsafan kepada manusia kerana janji Allah mengenai kematian itu adalah pasti serta perkara itu adalah hak mutlak Allah yang memang sudah tersurat di Luh Mahfuz.
Kesimpulan daripada tajuk pilihanku kali ini ialah bahawa hidup itu memang macam 'puzzle'.. penuh dengan persoalan, teka-teki yang sukar untuk difahami dan dijawab. Cuma manusia yang beruntung dan terpilih sahaja mampu untuk melihat hikmah daripada kehidupan ini. Manusia itu pastinya ialah orang yang melihat kehidupan melalui mata hati serta akal waras mereka dan bukannya mengikut hawa nafsu mereka sahaja. Mereka memilih strategi kehidupan berdasarkan ajaran daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai pengisian hidup mereka. Mereka inilah orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat. Mereka ini sebenarnya hidup di dunia semata-mata untuk menyemai benih pahala yang akan dituai di akhirat kelak. Mereka hidup dengan penuh strategi di bawah bimbingan dan inayah Illahi. Boleh dikatakan juga bahawa," mereka ini hidup semata-mata mengejar redha Illahi'. Marilah kita sama-sama berdoa agar kita tergolong dalam kalangan hamba-hambaNya yang terpilih ini. Doakan juga agar aku jauh daripada sifat hipokrit atau munafik kerana tidak mengamalkan apa yang aku tulis dan perkatakan ini. Sekian dahulu penulisanku kali ini, hanya ucapan terima kasih yang mampu aku ucapkan kerana kesudianmu untuk membaca hasil karyaku yang tidak seberapa ini. Yang benar, best stud celup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan